Wednesday, October 6, 2010

Jean Piaget pengasas teori Perkembangan Kognitif




Jean Piaget dilahirkan di Nauchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896. Bapanya bernama Arthur Piaget, yang merupakan seorang Profesor Sastera dalam bidang Sejarah dan ibunya pula bernama Rebecca Jackson. Jean merupakan anak pertama yang suka berdikari dan berminat tentang ilmu alam. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 84 tahun, 1981.

Beliau memulakan kariernya sebagai penulis pada usia yang teramat muda iaitu 10 tahun. Selepas tamat sekolah menengah, Jean melanjutkan pelajaran ke Universiti Nauchatel. Beliau mendapat PhD semasa berumur 22 tahun. Jean mula meminati Psikologi apabila beliau terpilih menjadi pengarah makmal Psikologi di Universiti Jeneva. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai ketua "Swiss Society for Psychologist."


Dalam bidang Psikologi, Jean merupakan salah satu tokoh yang amat penting di abad ke dua puluh. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi setelah beliau bekerja dengan Binet bagi membentuk ujian keceredasan mental. Semasa bekerja dengan Binet, Jean tidak berminat untuk melihat hasil jawapan betul yang diberikan oleh kanak-kanak, tetapi lebih berminat untuk melihat pola-pola perlakuan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak apabila mereka memberikan jawapan yang salah. Pada pandangan Jean, pola-pola perlakuan ini boleh memberikan petunjuk bagi pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak. Ekoran daripada itu, teori yang beliau kemukakan adalah memfokuskan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak.
Dalam teori Piaget, perkembangan bahasa kanak-kanak amat jelas dan ketara pada tahap praoperasi iaitu semasa kanak-kanak berumur 2-7 tahun. Menurut para ahli psikologi, sehingga kanak-kanak berumur empat tahun, mereka sudah menguasai kosa kata, gramatika, makna semantis/paragmatis, dan wacana yang berhubungan dengan pengalaman mereka sehari-hari (Miller, 1979). Kanak-kanak mudah menyerap semua bahasa yang didengar setiap hari bergantung dengan lingkungan keluarga dan masyarakat di mana dia dibesarkan. Seperti contoh, kanak-kanak berbangsa Melayu jika dibesarkan dalam keluarga yang bercakap setiap hari dalam bahasa Inggeris, lama-lama kelamaan akan fasih dalam bahasa Inggeris. Perkembangan bahasa berlaku secara berperingkat-peringkat. Ianya bermula dengan perkembangan bahasa ego yang berfungsi untuk mengungkap keinginan diri tanpa memerhatikan keinginan dan komunikasi dua arah. (Miller, 1979). Bahasa ini diungkap semasa anak-anak menginginkan suatu keperluan, iaitu jika lapar, mereka akan bercakap dan mengadu kepada ibunya. Pada tingkat umur tertentu, barulah anak secara sederhana dapat menanggapi keinginan orang lain dalam berkomunikasi secara pragmatis dan secara perlahan mula menunjukkan minat untuk berbual dan bercakap tentang sesuatu isu.

Kemudian, pembentukan bahasa berkembang lagi setelah anak-anak mula bersekolah sehinggalah mereka menguasai bentuk-bentuk bahasa yang lebih rumit seperti bahasa penulisan yang lebih formal. Sebenarnya perkembangan dan pembentukan bahasa tidak pernah berakhir sehingga akhir hayat seseorang. Pembentukan bahasa akan sentiasa berkembang jika seseorang itu menginginkan perkembangan tersebut berlaku. Contoh yang jelas dapat dilihat apabila manusia berlumba-lumba ingin menguasai bahasa selain daripada bahasa ibundanya. Permintaan inilah yang mewujudkan kursus-kursus pembelajaran bahasa di institusi-institusi pendidikan. Proses asimilasi, akomodasi dan adaptasi yang diketengahkan oleh Piaget akan sentiasa berlaku dalam hidup manusia sehinggalah dewasa.
 
 

No comments:

Post a Comment