Friday, October 8, 2010

Skala Pemarkatan Perkmbgn Kanak-Kanak



  Pertama kali kelas bersama Dr Zalizan Mohd Jelas,
amat bimbang kerana belum biasa dengannya tetapi akhir sekali amat
teruja dengan cara beliau memberi kuliah. Betapa pentingnya 'eye contact'
antara pelajar dengan pensyarah. Beliau juga tidak lepas dari memberi pelbagai tunjuk 
ajar untuk menjadi guru yang berdedikasi serta disukai pelajar
terutamanya bagi kami yang bakal menjadi guru kepada pelajar yang berkeperluan khas.
Bagi beliau semuanya dalam tangan masing-masing samada mahu menggapai peluang
di depan mata atau tidak. Beliau juga mengajar tentang Model Pemprosesan Kognitif pada hari itu.

Dari kuliah beliau pada hari itu,apa yang saya dapat ;


1- Otak adalah pengawal segala tindakan
2- Maklumat akan diproses apabila terdapat rangsangan luar
3- Setiap maklumat tak dapat diteruskan jika terdapat kecacatan / kereputan


Selain kuliah beliau juga mengedarkan Skala Pemarkatan Perkembangan Kanak-kanak.
Beliau tidak menerangkannya terlebih dahulu tetapi mengarahkan kami untuk membancanya 
serta memahami sendiri sebelum beliau menerangkan secara terperinci.
Mengikut kefahaman setelah saya membaca skala tersebut ialah
Skala ini dibuat khas untuk guru-guru yang bakal mengajar kanak-kanak khas.
Skala ini dibahagikan kepada beberapa aspek untuk menguji kanak-kanak tersebut
seperti dari sudut bahasa,penglihatan,minat belajar,melukis,menulis dan sebagainya.
Skala ini membantu guru-guru untuk mengklasifikasikan pelajarnya 
dalam kategori mana supaya senang untuk mengenalpasti
cara pengajaran yang sesuai kepada mereka.


TAHAP OPERASI KONKRIT (7-11 TAHUN)




 
Tahap ketiga Piaget dikenali sebagai tahap operasi konkrit iaitu berlaku 
semasa kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun. Pada tahap ini, 
kanak-kanak tidak lagi berfikir secara egosentrik seperti yang berlaku pada
tahap praoperasi. Perasaan ingin tahu menjadikan kanak-kanak pada
tahap ini akan gemar bertanyakan sesuatu yang menarik minat mereka
kepada orang yang lebih dewasa. Berkembangnya semangat inkuiri ini 
seterusnya menyebabkan mereka mula menerima pendapat orang lain.
Kanak-kanak akan mula belajar bermain dan bergaul dengan rakan-rakan 
yang sebaya kerana pada tahap ini mereka akan mula memasuki zaman persekolahan.
Satu lagi perubahan yang dapat dilihat ialah mereka sedikit demi
sedikit sudah mula memahami unsur-unsur pemikiran logik. 
Mereka faham akan konsep-konsep nombor, berat, susunan dan padatan.
mereka juga faham akan konsep pengekalan sesuatu benda atau objek. 
Walaubagaimanapun, kanak-kanak pada umur sebegini masih belum
memahami atau menaakul tentang perkara-perkara yang abstrak seperti 
konsep kenegaraan, ketuhanan, makna hidup dan sebagainya. 
Mereka hanya memahami konsep-konsep yang konkrit atau objektif
seperti mengenali haiwan, tumbuhan dan sebagainya.
Dengan itu, Inhelder dan Piaget (1958) menegaskan bahawa
kanak-kanak pada tahap ini boleh melaksanakan sesetengah operasi
ke atas objek lain tetapi tidak boleh beroperasi ke atas operasi atau proses pemikirannya sendiri.

Wednesday, October 6, 2010

Tahap 2 - TAHAP PRAOPERASI ( 2-7 TAHUN )



 Menurut Piaget, perkembangan yang paling penting di tahap ini ialah penggunaan bahasa.
Kanak-kanak yang berada di tahap ini mula menggunakan simbol di dalam permainan,
contohnya mengandaikan buku sebagai kereta apabila ditolak di atas lantai.
Namun begitu, dari segi kualiti, pemikiran kanak-kanak
masih lagi di tahap yang rendah berbanding dengan orang dewasa.
Contohnya, pemikiran kanak-kanak adalah egosentrik di mana, di dunia ini,
keseluruhannya dilihat hanya dari perspektif mereka sahaja.

Piaget juga mengatakan bahawa proses perkembangan kognitif kanak-kanak
menjadi lebih sempurna menerusi tiga kebolehan asas yang berlaku iaitu :
  1. Perkembangan kebolehan mental kanak-kanak untuk melakukan tingkah laku yang ketara seperti kebolehan mengira.
  2. Melalui latihan yang diulang-ulang, rangkaian tingkah laku yang dikukuhkan dan digeneralisasikan sehingga menjadi skema tingkah laku yang stabil.
  3. Hal-hal umum yang betul-betul difahami oleh individu bagi mewujudkan sesuatu pengukuhan tingkah laku.
Selain itu, Piaget juga mengatakan bahawa operasi yang berlaku mesti berasaskan
pada tiga fenomena mental yang penting iaitu pengamatan, ingatan dan bayangan.
Pengamatan merupakan suatu proses di mana kanak-kanak memberikan sepenuh perhatian
 terhadap sesuatu yang dilihat. Sementara, ingatan pula ialah satu proses pembinaan,
pengumpulan dan pengambilan kembali memori mengenai peristiwa lalu.
Manakala, bayangan merupakan satu proses yang menyebabkan sensasi yang statik,
selalunya pandangan dan pendengaran yang dikumpulkan di bahagian mental.

Bagi tahap ini, Piaget telah bahagikan kepada dua sub tahap iaitu :

  1. Tahap Pro-konseptual ( 2-4 tahun )
  2. Tahap Pra-operasi ( 4-7 tahun )
Di tahap pra-konseptual, kanak-kanak belum lagi dapat membezakan dan
memahami dua atau lebih dimensi pada masa yang sama. Hal ini kerana,
mereka belum dapat menyusun penerangan yang ada dalam pemikiran.

Kecerdasan di tahap ini selalunya dihuraikan sebagai kaku, tegang, ketidaksanggupan
membuat kesimpulan dan tidak menumpukan perhatian terhadap hubungan
di antara peristiwa yang berbeza. Terdapat empat kandungan utama proses kognitif
dalam tahap ini iaitu 'egocentrism', 'konsep sebab-akibat',
'peningkatan perolehan bahasa' dan 'pembentukan identiti diri'.

Satu lagi kekurangan di tahap ini ialah dari segi prinsip ketekalan ;
 iaitu pengetahuan bahawa kuantiti adalah tidak berhubung kait
dengan susunan @ keadaan fizikal sesuatu objek. Kanak-kanak yang tidak
memahami prinsip ini tidak akan tahu bahawa jumlah, isipadu atau panjang sesuatu
 objek tidak akan berubah apabila bentuk dan susunannya berubah.

Tahap-tahap Perkembangan Kognitif

TAHAP 1
TAHAP SENSORIMOTOR (0-2 TAHUN)


Pada tahap ini, bayi melihat kepada hubungan antara badannya dengan persekitaran. Kebolehan deria motornya berkembang dari semasa ke semasa. Bayi tersebut mempelajari tentang dirinya dengan melihat, menyentuh, dan mendengar di sekelilingnya kemudian menirunya. Kebolehan untuk meniru tingkah laku dikenali sebagai pembelajaran melalui pemerhatian (observational learning) (Mussen dan Kagan, 1974). Dalam perkembangan sensorimotor ini, terdapat enam sub tahap yang dikategorikan dengan melihat perkembangan kebolehan tertentu pada umur yang tertentu.

a) Dari lahir hingga satu bulan (refleks)
Bayi hanya mampu melakukan gerakan pantulan. Gerakan pantulan yang diwujudkan

lahir melalui tingkah laku pendengaran, penyusunan, gerakan tangan 
(genggaman dan sebagainya), penyesuaian, pandangan, pergerakan mata dan sebagainya.

b) Sebulan hingga empat bulan (reaksi asas sekular)
Peringkat pertama pencapaian untuk penyesuaian dan berlakunya reaksi sekular. bayi mula mempunyai pengertian tentang bahagian badannya yang tertentu. Di tahap ini pengalaman memainkan peranan yang penting untuk pembentukan tingkah laku kanak-kanak

c) Empat hingga lapan bulan (reaksi sekular kedua)
Di tahap ini bayi mempunyai persediaan untuk membuat pandangan dan pemerhatian yang lebih. 

Kebanyakan tingkahlaku bayi dihasilkan daripada sesuatu proses pem belajaran.

d) Lapan hingga dua belas bulan ( reaksi kordinasi)
Ia dikatakan sebagai masa pengukuhan di mana keadaan yang wujud sebelumnya disesuaikan di antara satu sama lain. Pada tahap ini, perkembangan mental bayi sudah dapat dikatakan sebagai sebagai berada di tahap perkembangan daya kognitif dan kebolehan mental asas pada bayi.

e) Dua belas bulan hingga lapan belas bulan (reaksi sekular ketiga)
Pada ketika ini, penemuan makna baru melalui pengalaman yang dilalui oleh bayi berlaku secara aktif. hal ini, bayi memerlukan kecepatan untuk melahirkan keseluruhan rangkaian tingkah laku apabila berada di dalam sesuatu situasi baru.


f) Lapan belas bulan hingga dua tahun (penggambaran pemikiran awal)
Berlakunya kombinasi mental di mana kanak-kanak mula mempunyai keupayaan untuk memahami aktiviti permainan dan fungsi simbolik. Pada ketika ini, kanak-kanak dapat mengatasi masalah kaedah cuba jaya dan dapat membezakan jenis-jenis tingkah laku peniruan yang diperhatikan.

Konsep Perkembangan Kognitif

Sebelum membicarakan tentang teori kognitif Jean Piaget, kita perlu terlebih dahulu mengetahui beberapa konsep penting yang diutarakan oleh beliau. Antara konsep-konsep penting tersebut adalah :

1. Skema
-Ia merujuk kepada potensi am yang ada dalam diri manusia untuk melakukan sesuatu
dengan cara tertentu.
-Contohnya, sewaktu dilahirkan, bayi telah dilengkapkan dengan beberapa gerakan pantulan
yang dikenali sebagai skema seperti gerakan menghisap, memandang, mencapai, merasa,
memegang, serta menggerakkan tangan dan kaki.
-Bagi gerakan memegang, kandungan skemanya adalah memegang benda yang tidak
menyakitkan.
-Oleh itu, bayi juga akan cenderung memegang benda-benda yang tidak menyakitkan seperti
contoh, jari ibu.
-Skema yang ada pada bayi akan menentukan bagaimana bayi bertindakbalas dengan
persekitarannya.


2. Asimilasi
-Asimilasi merupakan satu proses penyesuaian antara objek yang baru diperolehi dengan
skema yang sedia ada.
-Proses asimilasi yang berlaku membolehkan manusia mengikuti sesuatu modifikasi skema
hasil daripada pengalaman yang baru diperolehi.
-Contohnya, seorang kanak-kanak yang baru pertama kali melihat sebiji epal. Oleh itu, kanak-
kanak tersebut akan menggunakan skema memegang (skema yang sedia ada) dan sekaligus
merasanya. Melaluinya, kanak-kanak tersebut akan mendapat pengetahuan yang baru
baginya berkenaan "sebiji epal".


3. Akomodasi
-Merupakan suatu proses di mana struktur kognitif mengalami perubahan.
-Akomodasi berfungsi apabila skema tidak dapat mengasimilasi (menyesuaikan) persekitaran
baru yang belum lagi berada dalam perolehan kognitif kanak-kanak.
-Jean Piaget menganggap perubahan ini sebagai suatu proses pembelajaran.
-Contohnya, kanak-kanak yang berumur dua tahun yang tidak ditunjukkan magnet akan
menyatukan objek baru ke dalam skemanya dan mewujudkan penyesuaian konsep terhadap
magnet itu.


4. Adaptasi
-Ia merupakan satu keadaan di mana wujud keseimbangan di antara akomodasi dan asimilasi
untuk disesuaikan dengan persekitaran.
-Keadaan keseimbangan akan wujud apabila kanak-kanak mempunyai kecenderungan sejadi
untuk mencipta hubungan apa yang dipelajari dengan kehendak persekitaran.

Jean Piaget mendapati kemampuan mental manusia muncul di tahap tertentu dalam proses perkembangan yang dilalui. Menurut beliau lagi, perubahan daripada satu peringkat ke satu peringkat seterusnya hanya akan berlaku apabila kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang sesuai dan terdedah kepada pengalaman yang relevan. Tanpa pengalaman-pengalaman tersebut, kanak-kanak dianggap tidak mampu mencapai tahap perkembangan kognitif yang tinggi.

Oleh yang demikian, beliau telah membahagikan perkembangan kognitif kepada empat tahap yang mengikut turutan umur. Tahap-tahap perkembangan tersebut ialah :
  • Tahap Sensorimotor @ deria motor (dari lahir hingga 2 tahun)
  • Tahap Praoperasi ( 2 hingga 7 tahun)
  • Tahap Operasi Konkrit (7 hingga 12 tahun)
  • Tahap Operasi Formal (12 tahun hingga dewasa)

Jean Piaget pengasas teori Perkembangan Kognitif




Jean Piaget dilahirkan di Nauchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896. Bapanya bernama Arthur Piaget, yang merupakan seorang Profesor Sastera dalam bidang Sejarah dan ibunya pula bernama Rebecca Jackson. Jean merupakan anak pertama yang suka berdikari dan berminat tentang ilmu alam. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 84 tahun, 1981.

Beliau memulakan kariernya sebagai penulis pada usia yang teramat muda iaitu 10 tahun. Selepas tamat sekolah menengah, Jean melanjutkan pelajaran ke Universiti Nauchatel. Beliau mendapat PhD semasa berumur 22 tahun. Jean mula meminati Psikologi apabila beliau terpilih menjadi pengarah makmal Psikologi di Universiti Jeneva. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai ketua "Swiss Society for Psychologist."


Dalam bidang Psikologi, Jean merupakan salah satu tokoh yang amat penting di abad ke dua puluh. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi setelah beliau bekerja dengan Binet bagi membentuk ujian keceredasan mental. Semasa bekerja dengan Binet, Jean tidak berminat untuk melihat hasil jawapan betul yang diberikan oleh kanak-kanak, tetapi lebih berminat untuk melihat pola-pola perlakuan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak apabila mereka memberikan jawapan yang salah. Pada pandangan Jean, pola-pola perlakuan ini boleh memberikan petunjuk bagi pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak. Ekoran daripada itu, teori yang beliau kemukakan adalah memfokuskan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak.
Dalam teori Piaget, perkembangan bahasa kanak-kanak amat jelas dan ketara pada tahap praoperasi iaitu semasa kanak-kanak berumur 2-7 tahun. Menurut para ahli psikologi, sehingga kanak-kanak berumur empat tahun, mereka sudah menguasai kosa kata, gramatika, makna semantis/paragmatis, dan wacana yang berhubungan dengan pengalaman mereka sehari-hari (Miller, 1979). Kanak-kanak mudah menyerap semua bahasa yang didengar setiap hari bergantung dengan lingkungan keluarga dan masyarakat di mana dia dibesarkan. Seperti contoh, kanak-kanak berbangsa Melayu jika dibesarkan dalam keluarga yang bercakap setiap hari dalam bahasa Inggeris, lama-lama kelamaan akan fasih dalam bahasa Inggeris. Perkembangan bahasa berlaku secara berperingkat-peringkat. Ianya bermula dengan perkembangan bahasa ego yang berfungsi untuk mengungkap keinginan diri tanpa memerhatikan keinginan dan komunikasi dua arah. (Miller, 1979). Bahasa ini diungkap semasa anak-anak menginginkan suatu keperluan, iaitu jika lapar, mereka akan bercakap dan mengadu kepada ibunya. Pada tingkat umur tertentu, barulah anak secara sederhana dapat menanggapi keinginan orang lain dalam berkomunikasi secara pragmatis dan secara perlahan mula menunjukkan minat untuk berbual dan bercakap tentang sesuatu isu.

Kemudian, pembentukan bahasa berkembang lagi setelah anak-anak mula bersekolah sehinggalah mereka menguasai bentuk-bentuk bahasa yang lebih rumit seperti bahasa penulisan yang lebih formal. Sebenarnya perkembangan dan pembentukan bahasa tidak pernah berakhir sehingga akhir hayat seseorang. Pembentukan bahasa akan sentiasa berkembang jika seseorang itu menginginkan perkembangan tersebut berlaku. Contoh yang jelas dapat dilihat apabila manusia berlumba-lumba ingin menguasai bahasa selain daripada bahasa ibundanya. Permintaan inilah yang mewujudkan kursus-kursus pembelajaran bahasa di institusi-institusi pendidikan. Proses asimilasi, akomodasi dan adaptasi yang diketengahkan oleh Piaget akan sentiasa berlaku dalam hidup manusia sehinggalah dewasa.
 
 

Friday, September 24, 2010

PERMATA PINTAR..


PENGENALAN

Siapakah kanak-kanak pintar cerdas? 
# seorang kanak-kanak yang mempunyai kebolehan kognitif yang jauh lebih tinggi daripada kalangan rakan sebaya dikatakan sebagai seorang kanak-kanak pintar cerdas. 
# mempunyai keupayaan intelek yang luar biasa sama ada memiliki keupayaan intelek yang tinggi dalam satu atau lebih subjek akademik bukanlah satu-satunya ciri bagi seorang kanak-kanak pintar cerdas ini. 
# kanak-kanak yang mempunyai kebolehan luar biasa dalam bidang sukan, muzik, lukisan atau seni persembahan berbanding dengan rakan sebaya mereka yang lain. 

Oleh itu, kanak-kanak yang mempunyai potensi dan tahap motivasi serta pencapaian yang tinggi dalam aspek intelek, kreativiti, artistik, kebolehan kepimpinan serta mempunyai bakat dalam bidang seni dan muzik juga dilihat sebagai kanak-kanak pintar cerdas. 

CIRI KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Walau bagaimanapun, ciri yang dipamerkan oleh seseorang kanak-kanak telah dijadikan sebagai asas oleh sesetengah pakar profesional dalam mengenal pasti kanak-kanak pintar. Proses mengenal pasti kanak-kanak pintar cerdas yang paling mudah ialah dengan hanya melakukan pemerhatian sahaja terhadap tingkah laku kanak-kanak itu. Proses ini bukan sahaja boleh dilakukan oleh seorang ahli akademik yang profesional malah ibu bapa pun mampu mengenal pasti ciri yang terdapat dalam diri anak mereka. Biasanya hasil permerhatian yang diperolehi adalah tepat atau lebih ketara dari kaedah pengenalpastian yang lain kerana ia dilakukan dalam suasana yang selesa bagi kanak-kanak tersebut tanpa banyak gangguan. Banyak ciri yang luar biasa yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini pada usia yang masih muda lagi. Walau bagaimanapun tidak semua ciri ini perlu dimiliki oleh seseorang kanak-kanak untuk dikatakan pintar cerdas. Seseorang kanak-kanak itu tetap dikatakan pintar cerdas walau pun hanya mempamerkan sebahagian dari ciri yang disenaraikan. 

ciri kanak-kanak pintar cerdas yang disenaraikan dibahagikan kepada tujuh domain 


A. kebolehan intelek yang umum
B. kebolehan intelek yang khusus
C. pemikiran kreatif
D. kepimpinan
E. kebolehan psikomotor
F. kesenian visual/persembahan
G. sosial emosi.